.jpg)
KUALA LUMPUR 17 Feb. – Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin (gambar) terkejut dengan laporan penyenaraian namanya sebagai wanita ketiga terkaya di Malaysia seperti yang dilaporkan sebuah portal berita beberapa hari lalu.
Menurut penyanyi popular itu, penilaian jumlah kekayaannya sebanyak RM50
juta seperti yang dilaporkan portal berkenaan tidak begitu tepat dan
beliau secara peribadi, kurang senang dengan berita yang sudah menjadi
viral di laman sosial itu.
“Saya ada membaca berita tersebut dan agak terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan. Apa yang boleh saya katakan saya amat bersyukur dengan rezeki yang Allah kurniakan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Portal berita savemoney.my dalam laporan berita mengenai lima wanita
terkaya di Malaysia menyenaraikan nama Siti Nurhaliza, 36, di kedudukan
ketiga dengan anggaran aset kekayaan mencecah angka RM50 juta.
Kedudukan pertama dalam senarai itu ialah pewaris kekayaan pengasas
Genting Highland, Puan Sri Lee Kim Hua dengan aset kekayaan berjumlah
RM21.32 bilion sementara pelakon antarabangsa kelahiran Malaysia, Tan
Sri Michelle Yeoh pula berada di kedudukan kedua dengan jumlah kekayaan
sebanyak RM875 juta pada 2013.
Dua lagi personaliti wanita Malaysia yang turut disenaraikan ialah bekas
Ratu Cantik Malaysia 1969, Pauline Chai yang berada di kedudukan
keempat serta Ratu Skuasy negara, Datuk Nicol Ann David di kedudukan
kelima.
Penyanyi yang sangat masyhur dengan lagu Cindai itu turut menegaskan,
beliau masih lagi bekerja keras dalam bidang seni selain memberi tumpuan
serius dalam cabang perniagaan lain.
“Saya tidak begitu senang dengan jumlah yang dinyatakan, kerana saya
masih bekerja keras dalam bidang seni dan perniagaan dan tidak begitu
tepat untuk membuat penilaian berdasarkan jumlah yang dinyatakan,” ujar
Siti Nurhaliza yang juga pengasas produk kecantikan jenama SimplySiti.
Siti Nurhaliza merupakan antara penyanyi Melayu yang mencapai rekod
cemerlang dalam industri hiburan sepanjang 20 tahun menceburi bidang
seni dengan jumlah anugerah kejayaan yang diraih sepanjang tempoh itu
melebihi 200 anugerah.
No comments:
Post a Comment